Monday, April 18, 2016

Siri Fattabiouni: Adab Nabi dengan Kanak-Kanak

Nabi SAW begitu baik dalam layanannya kepada kanak-kanak. Baginda mempamerkan asas pendidikan untuk kanak-kanak. Sesungguhnya kanak-kanak di lahirkan dengan fitrah yang baik. Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah. Bayi dilahirkan dalam keadaan tulen, suci dan bersih dari segala kekurangan. Dan Nabi SAW memelihara kesucian dan ketulenan ini. Antara contoh belaian kasih baginda kepada kanak-kanak:-
  • Suka Menghidu, Mendakap dan Mencium mereka

Pernah al-Aqra' bin Habis melihat baginda juga beberapa orang badwi berkata kepada baginda: Ya Rasulullah, kamu mencium kanak-kanak kamu? Nabi menjawab Ya, lalu mereka berkata: “Sesungguhnya kami tak mencium kanak-kanak kami” Rasulullah SAW bersabda lagi: “Apa yang aku akan buatkan untuk kamu, andainya Allah merampas sifat rahmat dari hati-hati kamu. Ini bukti bahawa mencium kanak-kanak adalah rahmat dan kasih sayang. Ramai yang tak tahu, bahawa ini adalah satu ibadah dan kebaikan. Iaitu mencium dan mendakap kanak-kanak.

  • Suka mendukung kanak-kanak.
Kerap dilihat kedua-duanya di atas bahagian belakang Rasulullah SAW.

Suatu hari, Anas bin Malik datang. Dia melihat Nabi SAW dalam keadaan menongkat dua tangan dan dua kakinya. Dan Hasan dan Husin sedang bermain di atas belakang baginda. Maka dia berkata kepada Nabi SAW: Sebaik-baik tunggangan adalah tunggangan kamu berdua. Lalu Nabi SAW bersabda: Dan merekalah sebaik-baik penunggang, ya Anas. 

Nabi SAW memberi kepada mereka berdua kedudukan dan kemuliaan.

  • Suka Bermain dengan kanak-kanak.
Bermain penting untuk pembesaran kanak-kanak, juga baik untuk tubuh dan badan. Nabi SAW selalu bermain dan bergurau senda dengan kanak-kanak. Pernah baginda mengambil air dan membalingnya ke muka kanak-kanak, sehingga kanak-kanak itu ketawa dan bermain dengannya.

  • Memiliki sifat kasihan dan melindungi kanak-kanak.
Suatu ketika Nabi bersolat di masjid, Umamah binti Zainab datang kepadanya dan memanjat belakang baginda. Ketika itu baginda dalam keadaan bersujud. Lamanya sujud sehingga para sahabat menyangka baginda mengalami kekejangan. Setelah selesai solat, baginda bersabda: Anak perempuanku ini duduk di atasku, dan aku tak mahu mengganggunya.


  • Mendidik mereka, membimbing serta menanam nilai murni 
Kerana inilah waktu sesuai untuk mendidik mereka tentang nilai dan prinsip hidup. Sesiapa yang membimbing anak-anaknya, dia telah menjinakkan hasadnya.

Saidina Husin pernah mengambil sebiji kurma yang tidak halal baginya, kerana zakat tidak halal bagi ahli keluarga baginda. Lalu Nabi mencabut kurma dari mulutnya (Husin) dan berkata:..kakh..kakh...Maka dia keluarkan kurma dari mulutnya dan baginda bersabda: Ia tidak halal bagi kita sebagai keluarga Muhammad. Kerana ia adalah zakat.

  • Nabi SAW mengajar bercakap benar

Baginda pernah melihat seorang ibu memanggil anaknya bernama Abdullah. Dia memanggil: Ya Abdullah! Datang ke sini, aku nak berikan kau sesuatu. Apabila dia datang, baginda bertanya kepada si ibu : Apa yang kau nak berikan kepadanya. Saya akan berikan dia buah kurma. Nabi bersabda: Sekiranya kau tak berikan apa-apa kepadanya nescaya dituliskan untuk kau sebagai penipu di sisi Allah. 

Ramai di antara kita menipu anak-anak ketika bermain dengannya. Setiap kali memanggil anaknya kerana ingin memberinya sesuatu tetapi dia berbohong. Dia telah menanam sifat buruk dalam diri anaknya.

  • Mendidik kanak-kanak dengan sifat berani.
Rasulullah biasa berlumba dengan kanak-kanak. Nabi SAW pernah meminta anak saudaranya Abdullah bin Abas dan beberapa saudara kandungnya berbaris di satu tempat dan baginda duduk di satu tempat. Kemudian baginda memanggil mereka datang kepadanya secara berlumba, apabila sampai mereka telah menjatuhnya badan mereka ke atas dada Rasulullah SAW.

  • Tidak pernah menyakiti kanak-kanak.
Seseorang mungkin memukul budak disebabkan dia membaling sesuatu. Juga menengking dan memarahi budak disebabkan perkara yang remeh.


Inilah Nabi SAW pemimpin ummah, Melayan kanak-kanak dengan penuh lembut dan berakhlak baik.
Adakah kita turut sama berakhlak sebegini?

Nabi SAW meletakkan kaedah penting:

  • Perintahkan anakmu bersolat ketika mereka berumur 7 tahun dan pukullah mereka ketika berumur 10 tahun.”
Pukul di sini bukanlah pukulan yang kuat. Tetapi dikatakan memukul dengan benda seperti batang siwak. Ia dilakukan agar kanak-kanak betul-betul merasai teguran. Rasulullah SAW sendiri tak pernah melakukannya (pukul). Tetapi baginda begitu penyayang dan mulia dalam melayani kanak-kanak.
  • Jadilah guru ketika dia kecil dan kawan apabila dia meningkat dewasa
  • Antara hak asasi utama ayah kepada anak-anak ialah Melindungi Anak Dengan Doa
Rasulullah SAW melindungi Hasan dan Husin dengan satu doa penting. Selepas menyapu mereka berdua baginda membaca:


Sesiapa yang membacanya, Ummu Sibyan takkan dapat memudaratkannya. Ia sejenis jin yang suka menyakiti kanak-kanak.

  • Baginda suka menggembirakan mereka.
Para sahabat biasa membawa kepada Rasulullah SAW buah hasil tuaian pertama. Sebaik sahaja buah-buahan di kebun mereka masak, baginda akan mengambil, mencium buah tersebut dan bertahmid kemudian baginda akan memberi kanak-kanak yang paling muda di kawasan itu. Dengan tujuan memanjai dan menggembirakan kanak2 tersebut.Rasulullah SAW suka menghidupkan keceriaan dalam hati kanak-kanak. Seperti yang disebut di dalam beberapa hadith:

Bahawa Allah SWT menyediakan tempat di syurga bagi mereka yang mengidupkan keceriaan di dalam hati kanak-kanak.”

Ramai yang suka dan sayangkan kanak-kanak. Tetapi adakah kita benar-benar menghayati  rasa sayang itu kerana mencontohi baginda Rasulullah SAW??

" Apabila saya mencium atau mendakap atau bermain dengan anak saya, saya rasakan saya sedang melakukan salah satu daripada jenis ibadah. Mencontohi apa yang Nabi buat, lalu mendekatkan diri dengan Nabi. Meningkatkan lagi kecintaan saya kepada Allah dan mendapat kecintaan daripada-Nya.  "

No comments:

Post a Comment