Tuesday, April 12, 2016

Doa Secara Ghaib

Daripada Ibnu Umar RA, Rasullulah SAW bersabda yang bermaksud : 

“Doa yang paling segera dimakbulkan ialah doa secara ghaib (tanpa pengetahuan orang yang didoakan itu).” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).
 
Berdasarkan pernyataan jelas dan terang daripada dalil naqli di atas menunjukkan bahawa doa bukanlah sebarang amal individu semata-mata tetapi ada kaitannya dengan kelangsungan hidup bersama saudara mukmin yang lain. Selain menjadi penghubung melalui komunikasi langsung hamba kepada Khaliqnya, tetapi ia juga penghubung silaturrahim di antara sesama muslim yang lain.
 
Inilah cantiknya Islam yang melangkaui batasan sempadan ras mahupun warna kulit dan keturunan serta perbezaan bahasa. Tidak semata-mata mutlak mendoakan orang yang dikenali, malah merentasi sempadan yang lebih global walau tanpa perkenalan secara formal, namun ia dihubungkan oleh Allah melalui ukhuwwah Islamiyyah dan yang menjadi terasnya ialah kesatuan akidah dan satu pegangan.

Justeru apabila diketahui sifat doa itu sebagai satu kaedah melepaskan bebanan dan kesengsaraan orang mukmin yang lain, sewajarnyalah rutin ini dimanfaatkan sebaik mungkin dalam membantu kesusahan hidup manusia lain yang mungkin tidak mampu dibantu melalui sumbangan wang ringgit dan tenaga, tetapi cukuplah doa sebagai senjata, sekurang-kurangnya ia adalah tanda solidariti kemanusiaan sejagat. Amat tepatlah firman Allah SWT dan pernyataan sabdaan Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahawa orang mukmin itu bersaudara, saling kasih mengasihi antara satu sama lain, malah diibaratkan mereka itu seumpama satu jasad yang apabila sakit satu jasad, pasti anggota badan yang lain merasai sakitnya.

Sumber: Majalah Cahaya Keluaran September-Oktober 2008

No comments:

Post a Comment