Tuesday, April 12, 2016

Amalan Yang Disukai Rasulullah

1. Solat Sunar Fajar
Daripada Aisyah RA, dia berkata, 

"Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan empat rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum Subuh." (HR Al-Bukhari)
Terdapat banyak hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW selalu melakukan solat Sunat Dua Rakaat Sebelum Solat Subuh. 

Kalimah "tidak pernah meninggalkan" pada hadis di atas menunjukkan bahawa solat sunat fajar dua rakaat (Solat Sunat Qabliah Subuh) 
adalah salah satu amalan yang disukai Rasulullah saw atau suatu perbuatan yang biasa dilakukan oleh baginda. 


Itulah sebabnya solat ini sentiasa dilakukan oleh baginda dan hampir tidak pernah baginda tinggalkan, 
para ulama' mengatakan bahawa solat sunat dua rakaat fajar termasuk solat sunat muakkadah(dituntut).

Dalam hadis lain dikatakan:

"Tidak ada amalan yang lebih dijaga pelaksanaannya oleh Rasulullah SAW daripada solat nafilah ialah dua rakaat fajar." (Muttafaq 'alaih)
Adapun mengenai tempat di mana solat sunat fajar boleh dilakukan dilakukan, tentu boleh dilakukan di rumah ataupun di masjid.

Dah buat ke solat ini pagi tadi? Jika sudah, alhamdulillah.

2. MENUNAIKAN SOLAT SUNAT SEBELUM ZOHOR
Daripada Aisyah RA, bahawasanya Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan empat rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum Subuh.” [ Sahih al-Bukhari]


Saya solat bersama Rasulullah SAW dua rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sesudahnya.”


Barangsiapa yang solat empat rakaat sebelum Zohor dan empat rakaat sesudahnya, Allah akan mengharamkannya daripada neraka.” [ Riyadhus Solihin, Imam an-Nawawi hadis no 1113]
Sama ada dua rakaat atau empat rakaat solat sunat sebelum Zohor, kedua-duanya adalah amalan yang disukai Rasulullah SAW. Kedua-duanya adalah sunat. 
Sebagaimana kata Ibn Hajar “Yang lebih baik adalah meyakini bahawa Rasulullah melakukan kedua-duanya. Di mana kadang-kala baginda solat dua rakaat dan kadang-kala empat rakaat.”


3. MENUNAIKAN SOLAT MALAM


Solat malam atau biasa disebut solat tahajud adalah solat yang paling utama setelah solat fardhu. 
"Dan bertahajudlah kamu di sebahagian malam sebagai nafilah (tambahan) bagi dirimu, agar Tuhanmu membangkitkanmu pada kedudukan yang terpuji.” [ Al-Israa':79]
Berdasarkan ayat ini, sebahagian ulama' mengatakan bahawa khusus kepada Rasulullah dan tidak kepada umatnya, Allah SWT mewajibkan solat malam. Sehingga tidak menghairankan jika solat malam adalah amalan yang disukai dan yang tidak pernah baginda tinggalkan, sekalipun dosa-dosa baginda yang telah lalu dan akan datang diampuni Allah SWT.
Sesungguhnya pada malam hari ada saat yang apabila seorang muslim meminta suatu kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadanya. Demikian itu berlaku di setiap malam.” [ HR Muslim]
Demikianlah itu adalah sunah, Rasulullah SAW tidak pernah menunaikan solat tahajud sepanjang malam seperti sebahagian orang yang berlebih-lebihan dalam ibadahnya. Rasulullah SAW solat tahajud hanya di sebahagian malam sahaja, tidak keseluruhannya. Kadangkala di akhir malam, atau di pertengahan malam atau di awal malam. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, "Tidak ada waktu tertentu dalam solat tahajud bagi Rasulullah SAW. Baginda mengerjakannya bila pun baginda merasa mudah untuk melakukannya." 
Yang jelas, orang yang solat malam, sekalipun hanya 2 rakaat, lebih baik daripada orang yang tidak solat malam. Seandainya seseorang takut tidak dapat bangun malam, dia boleh melakukannya sebelum tidur. (Rasulullah SAW pernah berpesan kepada beberapa sahabat untuk solat malam terlebih dahulu jika khuatir tidak dapat bangun pada malam harinya."

4. MENUNAIKAN SOLAT SUNAT DHUHA


Kelebihan Solat Sunat Dhuha:

"Setiap tulang sendi kamu wajib bersedekah pada waktu pagi; maka setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh berbuat baik adalah sedekah, dan melarang perbuatan mungkar juga sedekah. Namun itu semua dapat dipenuhi dengan dua rakaat Solat Dhuha" (HR Muslim)

Dalam hadis lain dikatakan:

"Daripada Aisyah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW biasa menunaikan solat Dhuha empat rakaat. Dan baginda menambah berapa pun yang dikehendaki Allah " (HR Muslim)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW biasa menunaikan solat Dhuha empat rakaat setiap hari. Baginda pernah solat Dhuha enam rakaat. Namun ini tidak bererti, tidak boleh solat Dhuha dua rakaat. Baginda juga menganjurkan umatnya untuk menunaikan solat dhuha dua rakaat. 

2,4 atau 6 rakaat Solat Sunat Dhuha..lakukanlah dengan istiqamah. Jangan tinggalkan. 


Moga mendapat redha Allah....


5. MENGHARGAI MAKANAN YANG DISAJIKAN


"Dan daripada Abu Hurairah r.a dia berkata, Rasulullah SAW sama sekali tidak pernah menghina makanan.  Jika menyukai, baginda memakannya. Dan apabila tidak suka, baginda tinggalkan." (Muttafaq Alaih)

Tidak menghina sesuatu makanan merupakan salah satu etika yang baik ketika berhadapan dengan makanan yang tidak enak atau tidak disukai. Sikap tersebut merupakan LAMBAG KESYUKURAN  kita kepada Allah SWT terhadap nikmat yang dikurniakan kepada kita. Kita masih boleh merasakan kelazatan makanan serta dapat membezakan makanan mana yang enak dan tidak enak. Ia relatif bagi setiap orang. Sikap ini juga dapat membuatkan orang yang memberikan makanan kepada kita berasa senang hati. Tidak salah memuji makanan yang kita sukai.

"Bahawasanya Rasulullah SAW menanyakan lauk kepada keluarganya dan mereka menjawab, 'Kami tidak mempunyai apa-apa selain cuka'. Lalu baginda meminta cuka dan makan dengan cuka. Kemudian baginda berkata, 'Lauk yang paling enak adalah cuka."


Maksud perkataan 'keluarga' dan 'mereka' di dalam hadis ini merujuk kepada isteri-isteri baginda. Baginda sering tidak mempunyai lauk ketika makan dan hanya mempunyai cuka. Sememangnya makanan berlaukkan cuka adalah tidak enak. Namun Subhanallah! Rasulullah SAW sungguh tawaduk kerana makan berlaukkan cuka. Baginda tidak sesekali menghina makanan yang mungkin tidak digemari orang lain malah memuji cukalah lauk paling enak!

6. MENGGUNAKAN TANGAN KANAN


"Bahawsanya Rasulullah SAW selalu menggunakan tangan kanannya untuk makan, minum dan berpakaian. Dan baginda menggunakan tangan kirinya untuk selain daripada itu
(HR Abu Daud)

Menurut Islam, kanan menunjukkan sesuatu yang baik dan mulia. Manakala kiri menunjukkan sesuatu yang tidak baik dan buruk. Oleh yang demikian, di dalam al-Quranul Karim ada disebutkan bahawa para penghuni syurga adalah golongan kanan manakala mereka yang menghuni neraka adalah golongan kiri. 

Rasulullah SAW sentiasa menggunakan tangan kanannya untuk melakukan sesuatu yang baik, termasuk dalam perkara makan dan minum. Bukan hanya untuk diri baginda sahaja. Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya menggunakan tangan kanan ketika makan dan minum kerana ia adalah sebahagian adab dan ajaran syariat Islam bukan budaya Arab. Amalan makan dan minum dengan tangan kiri adalah amalan syaitan. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang kamu makan, hendaklah makan dengan tangan kanan dan apabila minum, hendaklah dengan tangan kanan. Kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri." (HR Ahmad, Muslim)

Daripada Umar bin Abi Salamah RA disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda katanya, " Sebutlah nama Allah lalu makan dengan tangan kananmu 
dan makanlah apa yang ada di dekatmu." (Muttafiq Alaih)

Rasulullah SAW menyuruh Umar bin Abi Salamah makan menggunakan tangan kanan. Ketika itu Umar bin Abi Salamah masih kanak-kanak. Ini menunjukkan sejak usia kanak-kanak lagi, baginda menekankan supaya makan menggunakan tangan kanan supaya apabila sudah besar dia akan biasa menggunakan tangan ketika makan dan minum. Oleh yang demikian, anak-anak perlu diajar supaya menggunakan tangan kanan ketika makan dan minum seawal yang mungkin. Dalam soal minum pula, ramai muslim yang menganggapnya soal remeh. 
--------------------------------------------------------

Bagi yang dilahirkan kidal pula, berusahalah berlatih menggunakan tangan kanan terutamanya ketika makan & minum. Di musim panas ini, mungkin ramai antara kita yang terlupa, kerap dahaga lalu terus meneguk air dengan tangan kiri (dan berdiri pula!). Marilah kita sama-sama cakna dengan adab ini, bermula dengan diri sendiri dan keluarga. Moga kita menjadi orang yang celik Sunnah..setiap masa!

7. MENJILAT JARI

"Bahawsanya Rasulullah SAW menyuruh untuk menjilat jari-jemari dan tempat makan. Baginda bersabda, 
'Sesungguhnya kamu tidak tahu, di manakah berkat makanan kamu.' (HR Muslim)

Dr Mustafa Said berkata, "Hadis ini mengandungi istihbab (disukai) dalam perbuatan menjilat sisa makanan pada bekas makanan dan jari-jemari. Tujuan perbuatan tersebut adalah mencari berkat makanan tersebut serta menghindari sikap meremehkan nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepada kita melalui makanan tersebut. Rasulullah SAW melarang umatnya membersihkan tangan dengan air atau sapu tangan, sebelum menjilat sisa makanan yang masih berada di jari-jemari kerana baginda mementingkan berkat yang ada pada makanan tersebut. Janganlah dilihat perbuatan menjilat sisa makanan ini perbuatan yang menjijikkan. Antara hikmah amalan ini adalah:-

  1. Ujian seseorang umat untuk mengikuti sunnah Rasulnya.
  2. Keberkatan makanan tidak dapat dikesan dan kemungkinan berada pada sisa-sisa makanan di jari dan bekas makanan.
  3. Umat Islam diajar menghindari pembaziran makanan.
  4. Islam memetingkan kebersihan termasuk dalam hal membersihkan sisa-sisa makanan.

8. MAKAN TIDAK TERLALU KENYANG

"Dan daripada Aisyah RA, dia berkata, 
'Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang daripada roti tepung selama dua hari berturut-turut hinggalah baginda wafat
(Muttafaq Alaih)

Subhanallah! Betapa zuhud dan sederhananya kehidupan Rasulullah SAW yang menjadi teladan kita. Cara baginda yang zuhud dan sederhana ini diikuti oleh ahli keluarga baginda iaitu isteri-isteri baginda, orang yang ditanggung kehidupannya serta para sahabat baginda. Baginda tidak pernah makan sehingga kenyang selama dua hari berturut-turut. Jika baginda makan sehingga dua kali dalam sehari, bermakna salah satu makanan yang dimakannya adalah kurma. Apabila baginda tidak mempunyai makanan untuk dimakan pada waktu pagi, maka baginda pun berpuasa pada hari itu. 
___________________________________

Sumber - Buku "As-Solihin: Amalan yang Disukai Rasulullah" oleh Mohd Daroji bin Abdullah - eMedia Publication Sdn Bhd
______________________________________________

No comments:

Post a Comment